BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, May 13, 2010

MELAYU

Entah terlalu payah rasanya untuk mentelah apa yang ada diminda orang Melayu masa kini. Saya bukan siapa-siapa, bukan orang yang berpangkat tinggi atau orang yang berharta lagi kaya raya juga berkata atas mana-mana landasan parti politik yang wujud di negara in,.juga bukan cendiakiawan atau ahli agama. Tetapi saya hanya seorang anak muda kampung yang tidak pernah tertinggal mengikuti perkembangan semasa Negara. Dari cerita bunuh, dibunuh dan membunuh, merogol dan dirogol, mencuri dan dicuri, meragut dan diragut, bayi, dibuang dan kematian tidak lupa hal politik semasa.
Kita sebagai Melayu kian jahil dengan diri sendiri, dan agama yang kita anuti. Yang berpolitik terus taksub dan tamak dengan kuasa dan harta. Saling salah, menyalahkan dan dipersalahkan. Malah sering menacari kesalahan orang lain dengan niat untuk menjatuhkkan. Yang menyokong pula, dengan sombong bodoh menyokong tanpa pernah menggunakan akal yang diaugerahkan Tuhan untuk berfikir. Otak di kepala hanya sekadar hiasan. Membabi buta mengangkat ’patung’ yang sudah jelas sanggup menggadai bangsanya sendiri dengan melelong agama demi meraih simpati. Demi ’patung’ yang dipuja, sanggup memutuskan saudara, sanggup membelakangkan agama. Asal yang dipuja berjaya, hilang saudara tidak mengapa, hilang sahabat pun tidak apa kerana boleh dikutip bila sudah berpangkat dan banyak harta. Kerana harta, pangkat dan kuasa, Melayu gelap mata dan hilang pegangan Agama. Terlalu malu rasanya diri ini untuk mengaku bahawa diri ini Melayu, kerana bila dilihat bangsa sendiri yang tertindas yang memang sengaja membiarkan diri ditindas. Menjadi pak turut yang sanggup mengganguk perkara yang jelas perlu digeleng, dan menggeleng perkara yang sudah terang perlu diangguk. Rasulullah SAW pernah ditanya perihal orang mukmin dan orang munafik. Kemudian beliau menjawab:
“ sesungguhnya orang mukmin hikmahnya dalam solat dan puasa, sedangkan orang munafik hikmahnya pada makanan dan minuman bagai binatang, disamping meninggalkan solat dan ibadah yang lain. Orang mukmin sibuk bersedekah dan meminta ampun sedangkan orang munafik terlena oleh karakusan dan angan-angan. Orang mukmin memutuskan harapan kepada segala sesuatu selain Allah. Orang mukmin mengorbankan segala sesuatu untuk agama. Sedang orang munafik mengorbankan agama untuk harta. Orang mukmin aman dari segala sesuatu selain Allah. Tapi orang munafik takut pada sesuatu selain Allah. Orang mukmin selalu berbuat baik dan menangis. Sedangkan orang munafik selalu berbuat jahat dan tertawa. Orang mukmin suka menyendiri dan menyepi. Tetapi orang munafik suka bergaul beramai-ramai. Orang mukmin menanam dan takut binasa. Sedangkan orang munafik suka mencabut dan mengetam saja. Orang mukmin berdakwah demi kebaikan agama. Sedang orang munafik berdakwah demi keuntungan dan merosakkan agama. Bahkan orang munafik memerintahkan kemungkaran dan melarang yang makruf”.
Tidak cukup dengan itu, kerana dek terlalu taksub pada politik dan rakan seperjuangan, orang Melayu sanggup menutup mata dan mulut dari mempertahankan nama Allah diguna pakai oleh orang lain. Saya ini mungkin jahil tentang agama. Boleh juga dikatakan terlalu dangkal bercerita tentang ilmu agama. Tapi bagaimana mungkin saya boleh duduk diam dan tersenyum dan berpeluk tubuh. Saya bukan seperti mereka yang Melayu yang membenarkan nama Allah digunapakai oleh agama lain, atas dasar persahabatan, atas dasar kepentingan politik,atas dasar majoroti undi, atas dasar kerusi empuk di Parlimen. Biar agama sendiri digolok gadai yang penting hati rakan sepolitik perlu dijaga, perlu dihormati. Yang berkopiah, yang berserban, yang berjubah yang berjanggut turut tunduk tak berbahasa, takut hati kawan terluka dan terasa. Andai ada sahabat sebumbung yang menyuarakan bantahan akan dipulau, akan disingkirkan akan dihalau dari bumbung tempat dia bernaung. Bagi yang sayangkan kuasa, peganggan dan pendirian agama yang dipegang, dilipat , dikunci dan ditutup rapat-rapat. Allah Azza Wa Jalla berfirman :
“ Kemudian sesudah mereka itu menggantikan kaum jahat, yang mempusakai kitab, mereka mengambil harta benda yang buruk lalu katanya. “Nanti Allah akan menampuni kami.”
(Surah Al-A’raf : ayat 169)
Iman Ghazali dalam kitabnya Mukasyafah Al Qulub memberi maksud pada ayat tersebut : mereka itu para ulama, namun hatinya telah terpikat keada dunia dan tidak mengira sama ada halal atau haram. Malah Rasulullah SAW pernah bersabda yang dirawikan oleh Ma’qal bin Yassar:
“ akan datang kepada manusia zaman di mana Al-Quran dijadikan seperti pakaian dikenakan pada badan oleh pemimpin. Semua urusan mereka didasarkan tamak, tidak ada lagi perasaan takut kepada Allah. Jika salah seorang dari mereka bersikap baik, dia berkata. “Allah menerimaku.” Dan jika berbuat jahat, dia berkata, “Allah akan mengampuniku.” Maka mereka meletakkan tamak, tempat khauf (takut) akibat kebodohan mereka terhadap ancaman-ancaman Al-Quran dan ayat-ayat di dalamnya.”
Baginda juga bersabda : “ diakhir zaman, akan ada orang-orang bodoh dan ulama-ulama fasik.”baginda bersabda lagi : “jangan kau pelajari ilmu untuk menjadi ulama, mempermainkan orang-orang bodoh dan mencari perhatian orang. Siapa berbuat demikian, nerakalah tempatnya.” Harus apa lagi yang perlu diperkatakan, wahai Melayu bukalah mata, bukalah minda. Jangan tutup mata hati kita dengan ketaksuban kuasa dan harta hingga lupa akidah dan pegangan agama.
Makin difikirkan makin tidak jelas, kadang-kadang kebodohan itu jelas terserlah hanya kerana keinginan berkuasa dan gila kuasa dan sukakan perhatian. Tapi dari apa yang saya faham mereka ini sebenarnya satu puak dalam kalangan bangsa Melayu yang sombong bodoh dan jahil dengan ‘sejarah’ bangsa mereka sendiri. Mereka yang hanya memandang kehadapan dan mendongak kelangit. Tanpa pernah memandang kebelakang buat seketika dan memerhati apa yang telah terjadi sebelum ini. Dan mereka yang tidak pernah teringin memandang kebawah melihat dimana dia berpijak dan apa yang dipijak tika ini. Pelajarilah sejarah, fahami sejarah. Fahamilah hikmah Allah menjadikan sejarah itu. Sejarah itu juga sebenarnya panduan hidup untuk masa depan, sejarah juga adalah peringatan kepada kita pada masa kini. Kembalilah kepada Al-Quran, dan fahamilah Ia ,rujuklah Ia kerana Al-Quran juga merupakan kitab sejarah . Jadi kenapa terlalu bodoh mudah percaya kepada anasir jahat, pada ‘boneka’ yang berkompang irama perang terhadap bangsa sendiri?, pada ‘patung’ yang melantunkan suara perpecahan dan keruntuhan bangsa sendiri? Kenapa mudah terpengaruh dan percaya kepada bangsa ‘asing’ yang sudah termaktub dalam sejarahnya suka memecahbelahkan dan memporakperandakan bangsa sendiri untuk keuntungan bangsa mereka? Kenapa mudah percaya dengan tukang karut yang mencanang untuk memajukan Negara, tapi dengan jelas dan terpanpang di depan mata, kerana kerakusannya mengejar kuasa sanggup menggadai bangsa dan agamanya?. Wahai bangsa Melayu, bacalah kembali sejarah, siapakah orang Melayu yang membuka kota Melaka sehingga Melaka dan Tanah Melayu dijajah sehingga lebih 400 tahun? Bacalah sejarah kenapa dia membuka kota Melaka. Dek kerana dendam dan tidak puas hati, dia membiarkan Melaka dan bangsanya dijajah hanya kerana kepentingan peribadi. Bacalah sejarah bagaimana Kedah kehilangan Pulau Pinang, bacalah sejarah bagaimana Johor kehilangan Temasek, bacalah sejarah bagaimana Perak dikuasai ‘orang puteh’ bacalah sejarah bagaimana Tanah Melayu diperkotak katikkan, kekayaan Tanah Melayu dikaut dibawa keluar? Kalau bukan oleh ‘Melayu’ itu sendiri. Hanya kerana gila dengan kuasa, gila dengan nama, gila dengan pangkat dan harta, mereka-mereka ini sanggup berperang dengan saudaranya sendiri, berparang dengan orang yang sebangsa dengannya, bersilat dengan orang yang seagama dengannya, berpaling muka dengan orang yang bertutur sebahasa dengannya. Sanggup melutut dan menyembah ‘orang luar’ asal dapat apa yang dihajati. Tidakkah mereka-mereka ini membaca titah Sultan Kedah,Tuanku Abdul Halim pada 27 Mac 2010 lalu, ‘jika kita mahu memilih pemimpin Negara, lebih baik memilih mereka yang tidak dicucuk hidung oleh kuasa lain’. Fakir-fikirkan wahai ‘Melayu’, kenapa Baginda bertitah demikian? Dan sekarang bukalah mata kita lihatlah siapa pula orang dizaman kita ini yang berperilaku seperti itu? Bukan menuduh atau menyalahkan, tetapi teori ‘sejarah mungkin berulang’ tidak mustahil akan berulang. Sama cuma zaman yang berbeza. Sedangkan sejarah yang berlaku sejak zaman Nabi adam yang tercatat dalam Al-Quran itu juga terjadi berulang kali inikan pula penjajahan negara kita. Andai dia berada pada pihak yang benar buktikan kebenaran itu, kenapa perlu berdolak, kenapa perlu berdalih, kenapa perlu menyembah ihsan orang yang pernah menjajah. Apa perlu membuat tawaran dengan menggadai maruah bangsa dan menjaja agama sendiri untuk kepentingan peribadi?. Mohon diingat kita ini mungkin sesetengahnya lupa pada sejarah, tapi orang-orang yang pernah menjajah kita tidak pernah lupa akan sejarah bagaimana kita dijajah. Mereka sentiasa mencari peluang dan ruang bagaimana untuk menjajah kembali.Pelanduk mungkin akan melupakan perangkap, tapi perangkap tidak pernah melupakan pelanduk.
Adakah itu tidak cukup untuk membuat bangsa Melayu ini sedar dengan propagandanya?. Dan kenapa harus kita percaya pada dakwah dan dakyah seorang ‘boneka’ yang berjuang untuk kepentingan peribadinya. Dan kenapa harus kita percaya bulat-bulat tanpa berfikir dan membuat timbangtara dengan telus segala bentuk bacaan dalam blog atau laman web, segala isi ceramah yang kita dengar? Belajarlah mentafsir isi tersirat dan tersurat. Bukan hanya menerima dengan bulat-bulat. Kerana berfikiran dangkal, kerana otak yang senteng, kerana kuasa, kerana harta, kerana pangkat, kerana nama, kerana sombong bodoh, kerana buta sejarah kita mengikut kata mereka sehingga sanggup berkempen membakar Utusan Malaysia. Saya cukup pasti mereka yang dengan bangga memegang dan membakar Utusan Malaysia itu adalah manusia-manusia berbangsa Melayu yang tidak tahu sejarah, buta sejarah sombong lagi bodoh. Tidakkah mereka sedar bahawa akhbar yang mereka bakar itulah yang membela nasib mereka. Akhbar yang mereka bakar itulah yang telah menjadikan mereka antara orang yang terpelajar, akhbar yang mereka bakar itulah yang manjaga kedaulatan, hak dan kepentingan Agama, Sultan dan bangsa Melayu mereka. Tidaklah mereka sedar akhbar inilah yang akan membela nasib anak cucu mereka kelak. Akhbar inilah yang akan memastikan keturunan mereka terbela. Kenapa perlu lebih yakin dengan akhbar bahasa lain yang kononnya lebih telus, lebih jujur. Itulah akibatnya terlalu bangga dengan bahasa asing hingga jahil mentafsir propaganda dan provikasi tersirat. Boleh juga diandaikan ‘mereka-mereka’ ini masih belum khatam mengaji bahasa Melayu dalam bab mentafsir isi tersurat dan tersirat, tetapi berlagak kononya sudah mahir mantafsir bahasa asing yang tertulis di ‘bintang’. Dan ‘mereka-mereka’ ini tidak sedar mereka diperbodohkan dan dipermainkan oleh sesetengah golongan untuk menjatuhkan tamadun madani bangsa Melayu mereka itu sendiri. Aduh kenapa jahil sungguh orang-orang yang mengatakan mereka ini sudah dewasa? Dengan bongkak dan berlagak kononnya lebih dulu makan garam dari anak muda. Tapi tidak sedar diri dipermainkan orang lain. Orang lain melihat diri mereka ibarat lembu yang dicucuk hidung. Mengikut sahaja kemana ’si pemain’ menarik mereka untuk dilagakan. Dengan harapan selepas penat menanduk bangsa sendiri, tekak akan dijejal dengan kemewahan dan kuasa.
Wahai ‘Melayu’ yang sibuk berkempen, mencanang berita kosong, berkompang sampai kebas tangan, mengetuk gong sampai lekuk. Tumpukanlah pada Melayu muda masa kini. Lihatlah dek kerana kalian terlalu ghairah berkempen menyokong seorang ‘mahluk’ yang berjuang untuk kepentingan peribadinya, generasi kita makin terhakis. Yang dewasa memukul gong dan canang berkempen tak tentu hala, tidak tahu mana hujung yang mana mula, yang muda berpesta dari terbenam fajar senja sampai menyinsing cahaya dhuha, yang remaja berpeleseran tidak tentu masa, tanpa sedar hukum hakam agama, yang kanak-kanak terbiar melarat tak berpegangan agama. Hingga merudum akidah dan moralnya. Antara zuriat dan sampah, antara kanak-kanak dan batang pisang tidak tahu apa bezanya . Dibuang sesuka hati, disepak terajang tanpa sedar diri. Yang dewasa buta sejarah dan dangkal pegangan agamanya. Yang muda buta segalanya hingga tidak tahu agama yang mana halal yang mana haramya. Yang lelaki sudah tidak sedar ‘lelaki’ bukan bukan milik mereka. Yang perempuan tidak sedar maruah dan kehormatan diri perlu dijaga. Yang kanak-kanak dijadikan tempat melampias nafsu dan hamba. Yang berpasangan tidak sedar batas-batas agama. Harus yang mana lebih penting? Bergambar ramai-ramai sambil membakar Utusan Malaysia atau membaca dan memahami tiap isi frasa tersurat dan tersirat serta falsafah perjuangannya? Yang mana lebih utama. Berkempen, berpolitik membabi buta pada perjuangan peribadi yang kosong atau berjuang bersama-sama membela agama dan bangsa? Yang mana perlu didahulukan, berkempen pada perjuangan yang sia-sia atau berkempem membenteras keruntuhan moral anak bangsa? Yang mana lebih berharga nasib bangsa Melayu atau mengumpul harta dunia? Yang mana lebih bernilai Ketuanan Melayu atau kuasa kerusi empuk parlimen yang memberi ‘nama’? Yang mana lebih penting kemajuan bangsa sendiri atau membiarkan bangsa lain maju dengan memperkotak katikkan bangsa sendiri? Anda baca, anda soal, anda jawab dan anda nilai-nilaikan. Fikir-fikirkan, bukan sekadar untuk diri anda sahaja tapi fikir-fikirkan untuk kelangsungan agama,bangsa dan negara anda pada masa depan.

0 comments: